Rabu, Oktober 14, 2009

PKR Sabah Dalam Gelora?

TERPANGGIL untuk memberikan pandangan peribadi mengenai PKR Sabah yang kini terlihat umum semakin berombak bergelora. Jika dilihat dari awal dari zaman Ustaz Rahman Yaakub, yakni pada peringkat awal penubuhan Parti Keadilan Rakyat di Sabah, memang terlihat kelembapan PKR. Apatah lagi Ustaz Rahman yang kurang berpengalaman memangkin kelembapan perjalanan PKR pada ketika itu

Senario PKR cuba diolah dengan penggantian Ustaz Rahman dengan Datin Saidatul, adik kepada Datuk Salleh Said Keruak. Diterajui oleh wanita yang agak emosional melambatkan lagi kerancakan PKR Sabah. Tiada pembaharuan dan kemajuan di wujudkan pada Dinasti Datin Saidatul.

Malah telah wujud pula puak-puak antara kepimpinan dan ahli-ahli. Tiada keserasian antara pemimpin PKR pada ketika itu dan ahli-ahli PKR yang bilangan boleh dikira. Amat sedikit jumlahnya. Kepimpinan Datin Saidatul banyak tercalar dan tiada kemajuan.

Beralih lagi kepada era Hj Awang Tengah. Kesinambungan senario kepimpinan politik Datin Saidatul diteruskan oleh Hj Awang Tengah. Puak A dan Puak B sering bertelagah dan tiada kerjasama terjalin.

Kuncu-kuncu Hj Awang Tengah terkenal dengan sifat keegoan, keangkuhan dan tiada usaha menambah baik indeks keahlian. Yang agak ketara terlihat hanyalah kesungguhan ‘orang kuat’ Hj Awang Tengah untuk menjatuhkan mana-mana Ketua Bahagian yang ‘tidak sehaluan’ dengan pemikiran mereka.

Keadaan cuba di baik-pulih selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim di bebaskan. Beberapa perubahan cuba dilakukan di Sabah. Antaranya penggantian Pengerusi Perhubungan Negeri Sabah. Kali ini Anwar cuba untuk menaikkan golongan ‘bijak-pandai’ menjadi Pengerusi Perhubungan Negeri Sabah.

Hj Ansari Abdullah di lantik dengan kuasa ‘veto’ di tangan Anwar Ibrahim. Sungguh pun begitu, banyak ‘kuasa-kuasa jahat’ cuba untuk menjatuhkan Ansari dalam pelbagai corak dan bentuk. Surat-surat layang, petition dari Ketua-Ketua Bahagian dan berbagai lagi dibuat untuk menjatuhkan Ansari. Pun begitu jika dilihat secara rasional Ansari sebenarnya juga gagal dalam memperkasakan PKR Sabah.

Sikap egoisnya mendalamkan lagi jurang di antara kepimpinan Ketua-Ketua Bahagian. Dalam era Ansari juga perpecahan dalaman banyak terjadi. Kumpulan Ansari dan Kumpulan Jeffrey. Kuncu-kuncu Awang Tengah mengambil jalan selamat dengan menyertai Kumpulan Jeffrey.

Ansari tidak mempraktikkan sikap kerjasama antara pemimpin PKR, keegoannya untuk berbaik sangka dan sukar menerima pandangan dari orang menambahkan lagi beban keretakan PKR Sabah. Ada beberapa Ketua-Ketua Bahagian yang meninggalkan PKR oleh kerana tidak mampu untuk bekerjasama dengan Ansari.

Apabila situasi ini semakin parah, maka Anwar mengambil keputusan untuk meletakkan dirinya sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Sabah menggantikan Hj Ansari Abdullah. Namun kesibukan masa Dato’ Seri Anwar membataskan lagi peruntukan masanya untuk sering berada di Sabah bagi memantau perjalanan PKR di Sabah yang secara nyata dari depan Ketua Ketua Bahagian dipimpin oleh Anwar dan dari belakang diasak tekanan oleh Dr.Jeffrey.

Jawatan Pengerusi Perhubungan bertukar tangan lagi. Kali ini di tangan YB Azmin Ali. Sekali lagi puak B tidak puas hati kerana Azmin Ali mempunyai hubungan yang baik dengan Ansari Abdullah. Sehinggakan ada Ketua Bahagian yang sanggup mengadakan mesyuarat untuk menolak Azmin Ali dari jawatan tersebut. Orangnya Jalumin Ketua Bahagian PKR Kota Belud.

Buat Ketua Bahagian Ketua Belud yang mengetuai mesyuarat itu perlulah saya ingatkan bahawa bukan semua suara Ketua Bahagian yang bersetuju dengan anda mewakili suara hati ahli-ahli akar umbi PKR diseluruh Sabah.

Mengapa suara hati ahli-ahli tidak di ambil pakai ? Bukan bermakna sokongan majoriti Ketua-Ketua Bahagian kepada anda mewakili hak bersuara ahli-ahli akar umbi PKR.

Jalumin, apa yang anda telah buat ini tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada akar umbi PKR, ianya menambah-burukkan lagi situasi genting yang ada sekarang ini.

Cadangan mesyuarat berkenaan yang memberikan cadangan sama ada Awang Ahmad Sah atau Ahmad Tamrin. Siapa mereka ?

Awang Ahmad Sah!, apakah pengalaman beliau untuk menduduki kerusi Pengerusi Perhubungan Negeri? Jika kita lihat bahagian beliau sendiri Putatan tunggang langgang. Tiada kemajuan. Hanya omongan kosong dan ketukan tin-tin kosong.

Dulu semasa era Awang Tengah, beliaulah yang merupakan mastermind dalam perancangan ‘mematahkan’ Ketua-Ketua Bahagian secara tidak professional. Sana-sini dengan cakap-cakap besar yang kononnya kepimpinan pusat takut dan akur dengan segala kata-katanya. Semua orang maklum skandal beliau. Bangkai gajah tidak mampan ditutup dengan dulang.

Ahmad Tamrin, tidak pasti apa sebab beliau dicadangkan ke jawatan tertinggi itu. Atas kapasiti apa? Sekadar pengalaman sebagai Setiausaha Perhubungan Negeri yang tidak effisien? Atau mungkin juga faktor ‘angkat kaki’ yang hebat? Kalaulah Pengerusi Perhubungan jatuh ke tangan Ahmad Tamrin atau Awang Ahmad Sah, saya percaya PKR akan terkubur dengan cepatnya.

Jadi persoalannya, siapakah yang layak untuk menggantikan YB Azmin Ali? Apakah Dr Jeffrey Kitingan? Perlu diingatkan disini beliau mewakili golongan etnik minoriti KDM dan sejarah ‘hitam’ Dr Jeffrey dalam politik Sabah masih lagi terpahat di minda rakyat Sabah Bumiputera Islam.

Bagaimana Dr Jeffrey mengharu-birukan parti PBS, AKAR dan PBRS. Sedangkan abangnya sendiri keberatan untuk menerimanya kembali dalam PBS. Sikap ’suka tikam dari belakang’ yang menjadi amalan Dr Jeffrey. Mana-mana parti yang disertainya pasti ‘berantakan’ olehnya.

Kalau anda masih ingat bagaimana Setiausaha Politik Dr Jeffrey, Kanol membidas Dato’ Seri Anwar dalam warta tempatan Sabah. Adakah anda percaya ini bukan mainan dalaman dan atas restu Dr Jeffrey?

Terlalu banyak kerakusan Dr Jeffrey yang terlihat di mata umum ahli-ahli PKR. Saya tidak lihat apa-apa kebaikan yang telah di lakukan oleh Dr Jeffrey kepada PKR. Malah semakin teruk PKR selepas kemasukan Dr Jeffrey.

Sikap perkauman yang mereka perdagangkan menjadi duri di mata rakyat Sabah. Malah puak-puak Jeffrey beranggapan PKR ini adalah milik mutlak mereka. Seolah-olah PKR ini hak mereka abadi maka sewenang-wenangnya mereka mempergunakan PKR untuk kepentingan peribadi dan pangkat semata-mata.

Untuk kepimpinan pusat PKR, perbaikilah PKR Sabah sebelum ianya tinggal sejarah. Rombaklah susunan majlis pimpinan negeri. kaji dan selidiki dahulu kebolehan mana-mana individu sebelum mereka dilantik menerajui majlis pimpinan negeri Sabah.

Jangan main tangkap muat atau berdasarkan pengalaman seseorang memegang jawatan tertinggi dalam Kerajaan sebelum ini. Kami ahli-ahli dari akar umbi PKR sayangkan PKR namun kami kecewa dengan pergolakan dalaman PKR Sabah sekarang ini.

Dr Jeffrey terlalu sibuk menggapai impian menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah dengan meraih sokongan dari Ketua-Ketua Bahagian Sabah tapi hakikatnya kebanyakan akar-umbi Bumiputra Islam masih belum mampu menerima anda sebagai peneraju utama PKR Sabah.

Perlu saya nyatakan disini, kebanyakan Ketua-Ketua Bahagian cuma ‘Pak Angguk’ dan ‘Tukang Kipas’ sahaja. They did it because they doesn’t want their divisions to be disturbed by your so called ’secret-mission teams’. Most of the Ketua Bahagian has learnt from the past, never says NO, and you are safe !

Mempunyai kedudukan yang baik dalam PKR Pusat sebagai Naib Presiden PKR, adakah masih tidak mencukupi bagi Dr Jeffrey ? Mengapa dibiarkan rasa tamak dan haloba itu menguasai minda anda?

Biarkanlah suku Bumiputera Islam yang majoriti bilangan DUN di Sabah menerajui PKR Sabah. Percayalah sekiranya Dr Jeffrey masih berkeras untuk menguasai jawatan tersebut, PKR Sabah akan ‘kebocoran bahtera’ dan ibarat bidalan melayu, seperti Pak Kadok ayam menang tetapi kampung tergadai’.

Menang sebagai calon tetapi memudaratkan kerusi-kerusi Bumiputera Islam keseluruhannya. Saya percaya semua ahli-ahli PKR tidak mahu senario ini terjadi di Sabah.

Abdul Rahim Haji Maarof

Tiada ulasan:

Catat Ulasan