Kalau dicongak secara rambang, Tan Sri Isa Samad memang boleh menang besar dalam Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang pada hujung minggu ini.
Inilah yang membuat Isa terlalu yakin. Pertama, dia akan dilindungi oleh lebih 4,000 ‘pengundi hantu’ yang tersenarai sebagai pengundi anggota tentera. Akan tetapi, PAS yang telah membuat injunksi mahkamah agar ditangguhkan Pilihan Raya Kecil itu, berhujah hanya terdapat 1,200 daripada 4,604 pengundi pos di DUN Bagan Pinang masih tinggal di kem Si Rusa, satu-satunya kem tentera dalam DUN Bagan Pinang. Kedua, jentera pilihan raya pihak pembangkang yang diterajui oleh PAS memang kelihatan amat lemah baik daripada segi strategi persiapan mahupun daripada aspek infrastruktur komunikasi dan seranta. Ketiga, maklumat songsang yang bertubi kali yang dicetuskan oleh media elektronik kendalian kerajaan memperlekehkan usaha PAS. Sebagai contoh, sesi ceramah Presiden PAS, Haji Hadi dikatakan hanya dihadiri sekitar 20 orang pendengar sahaja.
Memanglah, kalau difikirkan masak-masak, persiapan 'perang’ BN – UMNO di Bagan Pinang memang tidak ada tolok bandingnya. Daripada segi kibaran bendera dan panji-panji sahaja persiapan PAS dan pihak pembangkang ternyata hambar. Ini dirumitkan oleh peraturan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menegah parti pembangkang mengibarkan bendera masing-masing dalam kawasan pilihan raya kerana yang bertanding ialah PAS. Kerana itu hanya bendera PAS yang boleh dikibarkan. Ini adalah mengikut peraturan yang termaktub dalam Undang-undang Pilihan Raya. Akan tetapi bendera parti komponen BN boleh dikibarkan kerana Barisan Nasional merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar. Sedangkan Pakatan Rakyat ataupun PR tidak pun berdaftar
Manipulasi SPR dalam hal ini menunjukkan bahawa SPR adalah sebahagian BN juga kerana SPR sendiri tahu usaha parti komponen Pakatan Rakyat untuk mendaftarkan gagasan Pakatan Rakyat itu tidak dapat dilaksanakan kerana ada sahaja syarat ketat yang dikenakan dan tidak dapat dipenuhi pada waktu ini.
Di samping SPR yang ternyata berat sebelah kita juga dapat melihat peranan PDRM (Polis Raja Di Malaysia) yang berfungsi sebagai satu lagi cabang UMNO dalam pilihan raya Bagan Pinang. Khabarnya lebih lima ribu anggota polis ‘dari luar’ telah didatangkan khas untuk memperkukuh ketumbukan polis PD. Di setiap cabang jalan ada sahaja motorsikal polis trafik yang tercongok. Anggota polis itu sebenarnya bukan buat apa-apa kerja pun. Hanya tercongok untuk melicinkan perjalanan pemimpin UMNO dan BN ketika sampai di cabang jalan. Jika tidak kita akan lihat mereka berbual kosong sesama mereka, sambil menghabiskan masa bertugas.
Saya menganggarkan lebih kurang dua ratus anggota polis yang ditugaskan untuk memantau setiap pusat ceramah PAS dan PR di Bagan Pinang. INI TIDAK TERMASUK anggota polis risik (SB) yang menyamar sebagai penjual jajan (makanan dan minuman ringan) di gerai-gerai, dan juga penjual barangan lain seperti kitab, buku dan pakaian. Ironisnya gaji dan imbuhan pegawai polis ini datang daripada wang cukai rakyat negara ini!
Mudah betul kerja polis “luar’ di Bagan Pinang. Dan inilah budaya kerja yang akan mereka bawa pulang ke stesen/balai kerja tetap mereka. Mereka sendiri melihat betapa senangnya orang-orang UMNO dan BN ‘cari makan’. Apa guna mereka bekerja keras seperti dahulu? Cukuplah bekerja senang semacam itu dengan mengampu tauke politik cap dacing.
Pada sebelah malam anggota polis itu akan mundar-mandir di kawasan ceramah PAS dan menahan pengunjung yang datang sambil melihat kad pengenalan mereka. Yang peliknya gelagat semacam ini tidak pula mereka lakukan kepada pengunjung khemah UMNO dan BN. Soal yang pokok ialah kenapa pihak polis memeriksa kad pengenalan pengunjung tapak ceramah dan kenapa pula mencatatkan nama pengunjung itu. Oleh sebab gelagat inilah kita lihat tapak ceramah PAS dan Pakatan Rakyat seolah-olah lengang. Sedangkan tapak ceramah UMNO-BN dipenuhi orang ramai seperti yang dipertontonkan di kaca TV. Hakikat yang sebenarnya pengunjung tapak ceramah UMNO itu merupakan orang-orang yang diangkut daripada luar, dan kebanyakan mereka itu bukan pun ada namanya terdaftar dalam senarai pengundi. Mereka dibawa masuk hanya untuk meramaikan penyokong UMNO.
Polis dan SPR Menzalimi Rakyat
Perbuatan SPR menyekat bendera dan lambang parti pembangkang yang menganggotai komponen Pakatan Rakyat adalah satu perbuatan kurang ajar. Apa perlunya parti pembangkang bergabung di bawah gagasan rasmi kalau mereka secara terus terang sudah menyatakan sokongan kepada PAS dalam sesuatu pilihan raya yang demokrasi? Tidak ada gunanya Pengerusi SPR berselindung di sebalik Undang-undang SPR/Pilihan Raya kerana rakyat bukan bodoh lagi semacam dahulu. Begitu juga dengan gelagat pihak polis yang memeriksa kad pengenalan para pengunjung tapak ceramah parti pembangkang. Kenapa tidak diperiksa kad pengenalan pengunjung pentas UMNO dan BN. Apakah Musa Hasan (KPN) tidak faham bahawa gelagat polis itu adalah menzalimi rakyat? Tidak terlintaskah kepada kepala hotak Pengerusi SPR dan Musa Hasan bahawa gelagat anak-anak buah mereka akan membuatkan pengundi yang di atas pagar akan memilih calon parti pembangkang?
Isa Samad Mengharungi Zaman Getir
Di sebalik segala pertunjukan gah dan angkuh yang dipaparkan oleh media massa tajaan UMNO, kita tahu Isa Samad sebenarnya sedang mengharungi zaman getir dalam hidupnya. Sesungguhnya Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang adalah saat titik tolak yang menentukan kerjaya politik Isa Samad. Dia bangga mengulang kenyataan bahawa dia masih muda berbanding Tuan Guru Nik Aziz dan Haji Hadi Awang, kerana itu dia sanggup terus berpolitik. Dia tidak peduli dengan segala tohmahan bahawa dia adalah satu calon yang pincang kerana rekod rasuahnya. Dia tidak ambil peduli langsung apabila TKT Mahathir memboikotkan kempen pilihan raya UMNO di Bagan Pinang.
Saya dapat rasakan Isa memang hidup resah gelisah kali ini. Di samping terpaksa membelanjakan wang yang banyak sejak menyambut hari raya baru-baru ini, dia terus mengeluarkan wang yang banyak untuk mengongkosi kempen pilihan raya. Saya yakin dia dipilih oleh Najib kerana kemampuannya menyediakan wang yang banyak untuk berkempen. Walaupun ada cerita lucu mengatakan pemilihan Najib itu ada kena mengena dengan kisah seorang pemimpin tinggi UMNO yang ditangkap berkhalwat dengan seorang artis di sebuah hotel di PD semasa Isa menjadi Menteri Besar. Saya tidak fikir Isa dipilih oleh Najib kerana dia berkemungkinan mendedahkan nama dan kisah khalwat pemimpin tinggi UMNO itu seandainya beliau tidak terpilih menjadi calon di Bagan Pinang. Kalau Najib tidak rasa tergugat dengan kisah Altantuya, masakan dia akan tergugat menyelamatkan nama pemimpin tinggi UMNO yang ditangkap berkhalwat dahulu.
Saya yakin, sebagai seorang ahli politik yang sunggguh berpengalaman, Isa sedar bahawa buat masa ini dan setakat waktu kempen bermula UMNO dan BN mempunyai laluan yang amat mudah sehingga amat yakin akan menang besar kali ini. Ramai penganalis politik meramalkan UMNO akan menang besar dan kemenangan Isa akan dijangka menjadi titik tolak di mana UMNO dan BN akan terus menang ; Pilihan Raya Kecil yang mendatang.
Isa dan UMNO sudah tidak peduli lagi bahawa undi untuk Isa akan merosot gara-gara rekod rasuahnya yang amat buruk semasa menjadi menteri besar NS dan Presiden Perbandaran Seremban. Mereka seakan-akan lupa dengan kes besar seperti kematian Kugan yang akan mencuit hati pengundi dan masyarakat India menghukum UMNO, ataupun kematian Beng Hock di tangan SPRM (BPR) yang membuatkan pengundi Cina mengundi calon PAS.
Isa dan UMNO seolah-olah lupa akan episod JE (Virus Nipah) yang mengorbankan beratus ribu khinzir di Bukit Pelanduk. Begitu juga dengan kisah beberapa projek perumahan dan perindustrian yang terbengkalai di merata Negeri Sembilan.
Dosa Isa Yang Tidak Terampun
Sesungguhnya dosa manusia adalah ketentuan Allah semesta alam. Akan tetapi secara lahiriah, antara kita sesama manusia, terutama kita orang-orang Melayu, dosa seseorang insan itu kita ukur pada tahap berat ringannya serta impaknya terhadap kehidupan bangsa kita.
Dosa Isa terhadap orang-orang Melayu adalah teramat sangat. Dan Isa Samad amat memahaminya. Cuma dia pura-pura tidak ingat kerana dalam kempennya sekarang ini dia memberi penekanan bahawa dia sanggup bertanding “bukan kerana kuasa dan nafsu berpolitik”. Dia bertanding “kerana mahu membantu pucuk kepimpinan parti, khususnya UMNO”. Yang anehnya Isa lupa bahawa pucuk kepimpinan parti yang dia mahu bantu itulah yang telah mengenakan disiplin serta menggantung keahliannya untuk satu ketika.
Semasa menjadi menteri besar Negri Sembilan untuk lebih 20 tahun, Isa banyak lupakan bangsanya. Dia telah memperkayakan diri dan para kroni sahaja. Orang Melayu marhaen di Negri Sembilan hidup merempat pada waktu Isa berkuasa dan hidup mereka belumpun berubah setelah Isa tidak berkuasa lagi. Sebagai contoh, semasa kerajaan mengeluarkan pampasan kepada penternak khinzir semasa serangan wabak JE dahulu, adakah sebarang pampasan diberikan kepada orang-orang Melayu yang hidup di kawasan Bukit Pelanduk kerana selama babi hidup ;segar bugar dahulu banyak perkampungan Melayu yang dibanjiri air khinzir setiap kali air (laut) pasang?
Apa jadi kepada nasib orang Melayu (dan juga India) yang menghuni tanah setinggan persekitaran Lukut dan dijanjikan tanah untuk perumahan apabila tanah setinggan itu dirampas oleh Isa untuk projek perumahan? Masalah yang sama dihadapi oleh beberapa ratus setinggan Melayu, Cina dan India di persekitaran Seremban semasa Isa membina projek Kemayan Square dan Seremban Two?
Isa Samad sedar bahawa pencalonannya telah mencetuskan permusuhan di kalangan orang UMNO sesama mereka dan di kalangan masyarakat India (MIC) dan Cina (MCA). Memang di luar jangkaan banyak pihak bahawa Isa Samad akan terpilih akhirnya sebagai calon BN. Ini disebabkan banyak suara yang menentang perkara itu termasuk suara Tun Mahathir yang terus memboikot kempen pilihan raya kali ini.
Sekali gus, pencalonan Isa Samad membesarkan keretakan dalaman yang sudah lama menanah dalam UMNO dan BN Negri Sembilan. Mungkin Najib mengagak segala keretakan dalaman itu dapat ditampal buat sementara dengan curahan wang ringgit dan janji-janji manis. Saya berpendapat, seandainya Isa Samad berjaya menang sekali pun, keretakan itu tidak akan dapat ditautkan. Malahan keadaan akan memburuk lagi kalau diambil kira sentimen Tun Mahathir dan juga kisah Ketua Putera UMNO yang kononnya diserang pada hari pencalonan oleh orang-orang yang tidak dikenali.
Apakah Isa akan menang besar?
Kisah Isa akan menang besar sudah menjadi satu dongengan di Port Dickson. Ini diulang-ulang oleh media kerajaan seolah-olah kemenangan itu sudah menjadi satu kepastian.
Apabila dongengan itu diulang-ulang, sekali gus ia menjadi satu ukuran keangkuhan dan sikap gah pihak UMNO dan Kerajaan. Namun, Mahyuddin Yassin, sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Pengarah Pilihan raya UMNO melalak di merata tempat memperlekeh tindakan PAS mahukan injunksi mahkamah semoga pilihan raya itu ditunda ke satu hari yang ditentukan. Permohonan ini bersandarkan alasan bahawa terdapat beberapa kepincangan dalam daftar pengundi pos dan terdapatnya beberapa nama pengundi yang berulang-ulang. Kenapakah Mahyuddin tidak menyatakan sebab sebenar PAS minta tarikh pilihan raya ditunda? Kenapakah dia mengejek dengan mengatakan PAS dan Parti Pembangkang takut menghadapi Isa Samad.
Sesungguhnya bukan mudah Isa boleh menang di Bagan Pinang. Ramai penganalis politik berkata peluang kedua-dua calon adalah di tahap 50-50. Kalau diambil kira undi pos yang besar, memanglah peluang memihak kepada Isa. Akan tetapi bagaimana dengan undi biasa? Dalam congakan undi pos pun, tak kan semua anggota tentera yang mengundi itu akan memangkah nama Isa sahaja?
Sebagaimana yang kita akui, para pengundi di zaman ini sudah merupakan pengundi yang bijak. Ramai pemimpin UMNO sudah sedar hakikat ini. Tersebut kisah Tajuddin Rahman yang pernah memberi imbuhan kepada para pengundi India satu hari sebelum pengundian dilakukan. Pada keesokan harinya ketika dia mengunjungi masyarakat India itu dia dapati mereka semuanya menaikkan sepanduk PAS, malahan ada yang memakai baju berlogo PAS. Kisah ini berulang di banyak tempat.
Begitulah nanti yang akan berlaku di Bagan Pinang. Di sebalik segala propaganda di kaca TV yang memperlekeh PAS, seperti kurangnya hadirin di majlis kempen Presiden PAS sendiri, hakikatnya para pengundi sudah tahu siapa yang akan mereka pangkah.
Kita boleh perhatikan di setiap ceramah UMNO, para pemidato memperkecilkan kewibawaan kepimpinan parti pembangkang. Di satu tahap SPR bertindak tegas terhadap bendera-bendera parti gagasan PR dan pihak polis melalak mengatakan lebih ban yak permit dikeluarkan kepada pihak calon PAS berbanding pihak BN-UMNO. Hakikatnya Isa boleh berucap di majlis menyambut Hari Raya yang ditaja oleh agensi kerajaan seperti RISDA, sedangkan kehadiran beliau adalah satu kempen politik sebenarnya.
Apapun kaedah kempen yang dilancarkan serta muslihat perjumpaan sambutan hari raya yang ditaja oleh BN-UMNO, kita dapat lihat kebanyakan pemidato BN-UMNO menghabiskan masa mereka mengkritik kewibawaan DS Anwar Ibrahim. Sehinggakan Nalakaruppan melalak selalu mengatakan DSAI mempunyai khazanah dana sebanyak Tiga Bilion. Apakah sebenarnya tujuan propaganda itu? Bukannya Anwar yang menjadi calon PR di Bagan Pinang.
Isu sentimen seperti ini amat difahami oleh para pengundi. Isu sentimen sesungguhnya menarik minat pendengar kerana mereka mahu tahu lebih terperinci sesuatu kisah. Begitu juga dengan kisah Kugan yang dibunuh dengan penglibatan ramai pegawai polis, sedangkan hanya seorang pegawai polis yang dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan membunuh. Demikian juga halnya dengan kisah kematian Beng Hock di pejabat Badan Pencegah Rasuah. Sehingga kini mahkamah masih mempertikai DNA seorang insan misteri yang mungkin terlibat dengan kematian Beng Hock.
Perkara yang sama melibatkan Kes kematian Altantuya, yang kononnya melibatkan Rosmah Mansor isteri kepada Perdana Menteri.
Apapun, setiap isu sentimen adalah pewarna setiap sesi ceramah politik. Ia mempunyai sedikit impak kepada para pengundi yang bertanggungjawab menentukan calon mana yang menang. Isu sebenar yang boleh mempengaruhi para pengundi adalah isu semasa yang mencuit selera dan hal ehwal ekonomi mereka.
Para pengundi Bagan Pinang mesti didedahkan kepada implikasi kalau Isa diberi menang sekali lagi. Apakah dia mampu memutarkan balik peristiwa lama yang menghenyak ekonomi setempat? Dapatkah Isa mengusahakan pemberian tanah kepada setinggan yang pernah dinyah oleh kerajaan BN pimpinannya satu ketika dahulu. Sesungguhnya segala kebobrokan infrastruktur yang terdapat di Port Dickson sekarang adalah bukti dan
Kalau kita teliti ucapan Isa dalam kempen kali ini dia banyak menyerang para pemimpin PAS yang datang berceramah. Sekali gus dia mengelak daripada menjawab segala kebobrokan kepimpinannya di Negri Sembilan satu ketika dahulu.
Secara tidak langusng, gelagat Isa Samad adalah disebabkan juga peranan dan gelagat penceramah pemimpin PR yang berucap di forum kempen calon PAS. Mereka tidak membangkitkan isu setempat yang dapat mencuit simpati dan naluri para pengundi. Kenapakah tidak diketengahkan kegagalan Isa membangunkan Port Dickson semasa dia berkuasa dahulu. Kalau dilihat pembangunan infrastruktur jalan raya sekarang ini, memang nyata Isa gagal mengambil kira pembangunan Port Dickson semasa zaman kegemilangannya.
Saya pernah mencadangkan dalam penulisan saya kira-kira sepuluh tahun dahulu agar nama bandar Port Dickson ditukar sahaja kepada Pantai Damai. Sekali gus abjad PD masih tidak berubah.
Pengundi Melayu di Bagan Pinang harus mengambil iktibar bahawa peranan mereka sebagai pengundi kali ini adalah amat berat. Mereka harus sedar mereka mempunyai peranan besar untuk memangkah calon PAS yang banyak berjuang untuk rakyat marhaen selama ini. Mereka harus sedar akan dakyah politik UMNO yang mempertikaikan isu anak tempatan sebagai calon. Hakikatnya Isa bukan anak kelahiran Negri Sembilan.
Kita boleh jangka sekurang-kurangnya lapan puluh peratus undi kaum Cina akan memihak kepada Zulkifly. Ini adalah satu pertanda mereka membalas budi Zul yang memperjuangkan kempen “No Incinerator” di Broga. Mereka juga akan mengingatkan Isa yang satu ketika dahulu amat bergantung kepada sahabat baiknya Dr. Gan dalam setiap tindakan politik mengenai masyarakat Cina.
Kalau sentimen seperti ini menyelubungi juga masyarakat dan pengundi India, bererti Isa Samad memerlukan sokongan besar pengundi Melayu. Jika diambil kira keadaan keretakan dalam UMNO dan masyarakat Melayu masa kini, adalah amat sukar untuk Isa meraih lima puluh peratus pengundi Melayu marhaen.
Ini bererti Isa Samad terpaksa bergantung kepada undi pos. Satu ketika dahulu pengharapan kepada undi pos boleh dianggap satu kepastian. Ini yang dinikmati oleh ramai pemimpin UMNO satu ketika dahulu, seperti yang terjadi ke atas Shahrizat ketika menumpaskan Zainur Zakaria dan beberapa pemimpin UMNO yang lain di mana undi tentera telah memihak kepada mereka.
Isa Samad harus ingat, semasa pilihan raya melibatkan Roslan Kassim menentang Solinatahan, undi tentera telah memihak kepada Roslan Kassim.
Seandainya lima puluh peratus undi pos sahaja yang memihak kepada Isa Samad, bererti dia boleh mengucapkan selamat tinggal kepada arena politik. Percaturan undi di atas adalah serba mungkin dan Isa boleh merasa gementar menunggukan serangan kempen terakhir pihak kepimpinan PR. Jika kempen ini disalut dengan unsur ketaqwaan seperti Solat Hajat oleh para pemimpin PR, tidak mustahil Isa Samad akan tumbang.
Menyedari sumbangan unsur holistik inilah kita lihat sekarang ini TV dan radio menunjukkan kisah para pemimpin PR bukan Islam yang memetik ayat-ayat Al-Quran dan Hadis dalam ceramah mereka. Bagi pemimpin UMNO dan Kerajaan ini adalah satu trend yang kurang sihat. Sayangnya, orang-orang seperti ini khususnya Shahidan Kassim terlupa siapakah tenaga pengajar pengajian Islam di universiti barat? Cuba tanya Hamid Othman berapa ramaikah pensyarah universitinya di England dahulu yang beragama Islam berbanding mereka yang bukan Islam.
Dengan lain perkataan, petikan ayat Quran dan Hadis oleh orang-orang yang bukan beragama Islam adalah satu perkara biasa di negara barat. Hanya di Malaysia apabila ia digunakan oleh pemimpin parti pembangkang baru ada ”fatwa” yang mengatakan perkara itu tidak boleh dibenarkan. Kepada orang-orang ini saya ingin syorkan bacalah kisah Yusuf Islam (Cat Stevens) mula-mula masuk Islam dahulu. Dia telah mentelaah Kitab terjemahan al Quran untuk memahami ajaran Islam. Daripada situ barulah tercuit hatinya untuk menganut agama suci itu. Begitu juga dengan kisah beratus-ratus askar Amerika yang pernah bertugas di Iraq dan Afghanistan. Bagaimanakah mereka mengambil sikap menganut agama Islam kalau mereka tidak mendalami ajaran Islam secara membaca terjemahan Al Quran dan Hadis. Mereka tidak masuk Islam semata-mata selepas mendengar suara azan setiap hari.
Kenapa Isa Samad Boleh Kalah?
Setiap pergerakan aktiviti manusia adalah berasaskan gerak naluri yang didalangi tangan ghaib. Pada tahap awal pencalonan satu kes pemimpin UMNO dimasukkan hospital kerana dipukul kononnya oleh penyokong PAS telah diperbesar-besarkan. Sedangkan ramai pemimpin PAS yang terkejut dengan peristiwa itu kerana Azeez kelihatan amat ceria semasa pencalonan.
Antara begitu banyak kes rasuah Isa Samad, ada beberapa perkara yang menghimpit masa depan orang Melayu, hasil mainan Isa. Tentu pengundi Melayu sedar betapa ada tipu muslihat Isa memberi geran kepada ramai orang Melayu ke atas kawasan yang kini sebenarnya pesisiran pantai. Dengan kata lain Isa telah mengeluarkan geran bagi kawasan laut.
Begitu juga kisah tanah peneroka Felda di Sendayan dan LBJ. Satu ketika dahulu tanah itu telah dirancang untuk diusahakan dengan menjanjikan hidup jutawan kepada para peneroka. Hampir 80% peratus peneroka bersetuju untuk menyertai program penjualan tanah itu. Lagi 20% yang enggan telah menjadi mangsa APT di mana tanah telah diambil-alih oleh kerajaan. Saya fikir apabila kes ini diperbesarkan dalam ceramah politik PAS, Isa akan menjadi senak kerana terlalu banyak tahi politik yang kini sudah keras dan tidak mampu ditangkisnya.
Provokasi UMNO terhadap PAS
Masih ramai orang tertanya-tanya apakah sebenarnya strategi UMNO mempamerkan kisah Dato Abdul Azeez Abdul Rahim dengan gambar beliau terlantar di hospital. Saya pun menyoal diri sendiri dan juga kawan-kawan akan gelagat itu. Antara beberapa jawapan yang diberikan ada satu analisis yang amat jitu dikemukakan oleh seorang veteran UMNO yang ingin saya rakamkan dirinya dengan nama Al-Yusuf. Inilah analisisnya:
“Gelagat Abdul Azeez adalah satu strategi untuk UMNO melancarkan satu provokasi yang hebat di Bagan Pinang. Datuk Abdul Azeez memang suka mempamerkan kemelayuannya mempertahankan wibawa UMNO. Tetapi tidak ramai orang yang tahu bahawa tidak ada satu titik pun darah Melayu di tubuhnya. Di rumahnya pun Azeez bertutur sesama ahli keluarga dengan Bahasa Tamil.
Walaupun Azeez merupakan Ketua Bahagian UMNO Baling, orang Melayu Baling yang sudah tahu perangai kaki gedebe ini amat membencinya, sehinggakan mereka sanggup menurunkan bendera dan gambar beliau semasa bertanding di pilihan raya yang lalu, menentang Ustaz Taib Azamuddin. Dia kalah walaupun dia telah membawa masuk ramai ahli pemuda daripada luar untuk berkempen baginya. Sikap kurang ajar putera UMNO dari luar itulah yang membuatkan pengundi Melayu Baling naik marah dan tidak memangkah Azeez
Abdul Azeez cuba memainkan taktik yang sama di Bagan Pinang. Kita tahu Azeez adalah gurkha dan budak suruhan Ketua Pemuda UMNO - Khairy Jamaluddin. Kelmarin Khairy telah bercakap lantang betapa dia akan membawa masuk pasukan gerak gempur pemuda UMNO untuk menangkis segala gelagat keganasan yang akan dicetuskan oleh pihak lawan.
Orang UMNO pun sendiri sudah faham betapa Khairy Jamaluddin terpaksa bergantung kepada Azeez untuk menyediakan gerombolan gerak gempur bagi menunjukkan kekuasaannya.
Tindakan provokasi Khairy Jamaluddin amat bertentangan dengan hujah yang terkeluar daripada mulut Muhiyuddin Yassin. Sebagai Pengarah Pilihan raya BN, Muhiyuddin giat memperlekehkan wibawa calon PAS dan semua pemimpin parti pembangkang. Di waktu yang sama dia tahu pihak Polis Raja Di Malaysia giat menjalankan provokasi halus untuk menakutkan para pengundi dan penyokong parti pembangkang.
Dua taktik berbeza dalam kempen UMNO-BN ini menunjukkan betapa UMNO sendiri pun sedang bercempera dalam pembikinan agenda kempennya. Seolah-olah tidak wujud sekretariat penyalaras dalam kempen mereka mengganyang parti lawan.
Siapa yang akan menang?
Semasa artikel ini ditulis para anggota tentera dikatakan sedang membuang undi (pos) mereka di PUSADA. Kalau keadaan berjalan licin, adalah dijangkakan satu hari sudah mencukupi untuk perjalanan undian begitu. Jika tidak proses undian akan disambung lagi esok hari (Jumaat).
Pada waktu yang sama, para pengundi tertanya-tanya apakah akan terjadi dengan usaha PAS mahukan pilihan raya ditangguhkan mengikut permohonan injunksi mereka.
Apapun keputusan mahkamah itu, saya melihat bahawa keputusan pilihan raya itu akan ditentukan oleh keputusan undian pos. Kalau selesai pengundian itu petang ini, keputusannya akan menentukan siapa yang akan menang keseluruhan pengundian pada Ahad nanti. Saya fikir kalau keputusan undi pos memihak kepada pihak PAS, besar kemungkinan dan tidak mustahil kalau mahkamah bersidang dan memutuskan bahawa pilihan raya Bagan Pinang memang patut ditangguhkan.
Sejarah akan berulang lagi nampaknya. Kemasukan Azeez ke hospital adalah satu permulaan. Saya jangka akan ada seorang dua lagi pemimpin UMNO yang akan mengulangi pengalaman Azeez itu.
Marhaintua
Tiada ulasan:
Catat Ulasan