Lim Kit Siang menyambut baik saranan agar Pakatan Rakyat didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan dengan Pendaftar Pertubuhan. Ia adalah satu langkah bagi membolehkan pertubuhan itu mengambil bahagian dalam pilihanraya, sama seperti Barisan Nasional. Langkah ini memberikan peluang kepada pakatan itu untuk mengemukakan satu manifesto bersama bagi dinilai oleh rakyat.
Pilihanraya ialah satu proses bagi sesebuah parti politik mendapatkan mendapatkan mandat rakyat. Sebelum rakyat memberikan mandat yang diminta, mereka harus jelas hala tuju dan perjuangan sesebuah parti. Bertolak dari situlah, rakyat membuat keputusan sama ada ingin memberikan peluang kepada sesebuah parti untuk memerintah.
Pembentukan kerajaan campuran selepas pilihanraya (bukan saja di Malaysia, tetapi juga di lain-lain negara) ada kelemahannya. Apa yang ketara ialah ia merupakan "marriage of convenience" bagi mendapatkan kuasa. Dalam keadaan sedemikian, rakan kongsi dalam kerajaan campuran boleh mengambil sikap lepas tangan terhadap janji-janji yang dibuat oleh rakan kongsinya dalam pilihanraya.
Untuk merealisasikan hasrat itu, Pakatan Rakyat haruslah berunding dan menyelesaikan perbezaan antara DAP, PKR dan PAS. Bukan satu rahsia lagi bahawa PAS mempunyai pendapat yang berbeza dengan DAP dan PKR dalam banyak isu. Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Ali, sebagai contoh, sudah beberapa kali memprotes tindakan Kerajaan Negeri itu lantaran perbezaan tersebut. Saya tidak fikir protes itu akan berhenti setakat ini.
Isu-isu ini perlu diselesaikan bagi membolehkan Pakatan Rakyat berfungsi sebagai satu entiti politik. Terserahlah kepada kebijaksanaan pemimpinnya untuk menentukan apakah isu-isu yang diperjuangkan PAS seperti negara Islam, dan hukum Islam (sekadar menyebut beberapa contoh) akan menjadi agenda teras gabungan itu atau sebaliknya. Walaupun beberapa orang pemimpin bukan Islam DAP dan PKR sudah mula membaca ayat-ayat al-Quran dalam ceramah politik, mereka mungkin mempunyai tafsiran yang berbeza dengan PAS mengenai Islam.
Rakyat ingin melihat pendekatan yang diambil oleh PAS bagi mengakomodasi tuntutan Pengerusi DAP Karpal Singh yang meminta sesiapa saja yang ingin menegakkan negara Islam melangkah mayatnya terlebih dahulu. Tentunya rakyat juga tidak lupa kepada kenyataan Ahli Parlimen DAP Jeff Oii yang melabelkan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang suatu waktu dulu pernah dipimpin oleh Saari Sungip (ADUN Hulu Klang) sebagai ekstrimis. Sekiranya perbezaan-perbezaan pokok ini dapat diselesaikan melalui satu formula yang diterima bersama, maka cerah masa depan Pakatan Rakyat. Andainya tidak, ia tidak akan dilihat sebagai satu alternatif yang rapuh.
Dalam PRU12, tema kempen DAP, PKR dan PAS ialah menolak Barisan Nasional -- undilah sesiapa saja asalkan bukan Barisan Nasional. Setelah parti-parti itu membentuk kerajaan gabungan, rakyat mula membandingkan gabungan DAP, PKR dan PAS dengan Barisan Nasional. Responnya pelbagai. Terserahlah kepada gabungan parti-parti itu untuk memahami sentimen rakyat kepada mereka. Keputusan pilihanraya kecil Bagan Pinang pada Ahad nanti mungkin boleh memberikan sedikit gambaran mengenai sikap rakyat.
Oh ya, anda tidak perlu menyakinkan saya tentang "kebaikan" Pakatan Rakyat. Anda yakinkanlah pengundi dalam PRU13 nanti kerana merekalah yang akan menentukan masa depan gabungan itu!
Nobisha
Tiada ulasan:
Catat Ulasan