Selasa, Oktober 06, 2009

Dr. Hassan dan Politik Terbuka

Pesuruhjaya PAS Selangor dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Hassan Ali dilaporkan mengkritik cara Selcat menyoal pegawai-pegawai kanan negeri itu dalam sesi pendengaran awam. Menurut Dr Hassan, beliau membantah tindakan menyoal pegawai-pegawai tersebut seperti budak sekolah, sekaligus menyebabkan semangat bekerja mereka merosot. [Sila nyatakan pandangan anda dengan mengambil bahagian dalam poll yang terletak di sidebar blog ini.]

Apa yang menarik ialah respon beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat mengenai isu ini. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dilaporkan berkata Dr Hassan sepatutnya menunjukkan semangat berpasukan dan tidak menyuarakan bantahan. Ini boleh difahami bahawa bagi Khalid walaupun Dr Hassan tidak setuju dengan keputusan itu, dia tidak sepatutnya membantah secara terbuka.

Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pula berkata Dr Hassan sepatutnya menyelesaikan isu itu secara dalaman dan bukannya menimbulkannya di khalayak umum. Klik di sini untuk membaca laporan The Star mengenai kenyataan beliau itu.

Kenyataan kedua-dua orang pemimpin PAS dan DAP ini menunjukkan bahawa mereka tidak mahu Dr Hassan membincangkan isu ini secara terbuka dengan rakyat. Alasannya mudah. Mereka tidak mahu sebarang kelemahan dalam gabungan PKR, DAP dan PAS menjadi pengetahuan umum dan menimbulkan masalah dalam pilihanraya akan datang.

Bukan saja Pakatan Rakyat, malah Barisan Nasional juga begitu. Sedapat mungkin, apa saja isu parti hendaklah dibenamkan dalam parti masing-masing. Rakyat hanya mengetahui yang baik-baik sahaja.

Sekiranya tak salah saya, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berkempen untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang terbuka. Seringkali mereka memetik kisah bagaimana politik di Barat cukup telus dan terbuka. Sekiranya itulah indikatornya, maka biar saya katakan bahawa di Barat isu-isu dalaman parti dibincangkan secara telus. Pemimpin parti mengkritik keputusan kerajaan secara terbuka dan ia bukanlah menjadi satu masalah.

Dalam kes ini, Dr Hassan sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor melahirkan ketidakpuasan hatinya dalam isu Selcat. Oleh kerana dalam politik Malaysia tidak berlaku pemisahan antara pemimpin kerajaan dan pemimpin parti politik, maka kritikan pemimpin parti terhadap kerajaan seringkali dilihat negatif.

Inilah jadinya apabila kita ingin mencontohi sistem politik Barat yang dikatakan gah itu, tetapi mengambilnya secara selektif. Pernah dengar nama Tim Kaine? Dia ialah pengerusi parti Democrat di Amerika Syarikat. Yang menjadi presiden negara itu, bukanlah Tim Kaine, tetapi senator penggal pertama dari Illinois yang bernama Barack Obama.

Salah satu kritikan kepada Barisan Nasional ialah isu-isu parti itu diuruskan secara di belakang tabir. Bagaimanapun hasil kritikan pelbagai pihak, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional semakin berubah. Sebagai contoh, isu kepimpinan Dato' Seri Samy Vellu dibincangkan secara terbuka dalam media massa. Bekas pengerusi Barisan Nasional, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Samy secara berterus-terang. Malah, beberapa orang pemimpin parti komponen lain turut menyuarakan dengan nada yang sama.

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat memilih untuk melangkah ke belakang dalam kes ini. Sepatutnya, mereka tidak melakukan serangan terhadap Dr Hassan atau meminta beliau berhenti menyuarakan isu ini di khalayak ramai; apatah lagi ada yang menggesa beliau keluar PAS. Apa yang wajar, ialah membincangkan isu yang dibangkitkan oleh Dr Hassan iaitu kaedah yang digunakan oleh Selcat tidak wajar. Itu baru cara yang betul untuk berpolemik.

Sedang masyarakat memilih untuk telus dan terbuka, pemimpin-pemimpin parti politik kita masih belum mahu berubah!

Nobisha

Tiada ulasan:

Catat Ulasan