Selasa, Disember 11, 2018

☆Tadabbur Kalamullah 2 Rabiul Akhir 1440H☆

 ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim" [Surah asy-Syura 40]

#Salah satu daripada tanda akhir zaman ialah berleluasanya kejahatan dan kezaliman. Hati manusia seakan-akan sudah hilang sifat belas kasihan dan kasih sayang sehingga mereka tidak ada lagi rasa bersalah untuk menindas sesama manusia.

#Ingatlah bahawa Allah swt mengharamkan perbuatan zalim serta melarang manusia daripada saling menzalimi, kerana kezaliman itu sendiri adalah haram secara mutlak. Dan kita wajib berusaha dengan apa cara sekalipun untuk menghapuskan kezaliman. Sabda Nabi saw:

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا

“Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim dan yang dizalimi".

فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا، أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ: تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنَ الظُّلْمِ ، فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ.

"Kemudian ada seseorang bertanya tentang bagaimana cara menolong orang yang berbuat zalim?. Baginda menjawab: “Kamu cegah dia (hentikan dia) dari berbuat zalim, maka sesungguhnya engkau telah menolongnya” (HR al-Bukhari dan Muslim)

#Ada ketikanya, Nabi saw mengajar bahawa kadang-kala cara menyelesai dan menghentikan kezaliman dengan cara mendapat sokongan orang ramai di jalanan. Dalam sebuah hadis dikisahkan bahawa seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah saw, katanya:

“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi saw: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “Apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab (protes jalanan itu), jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu semula, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim. Sahih).

#Hadis ini menunjukkan bantahan orang ramai boleh menakutkan orang yang zalim. Jika sekadar kezaliman jiran kita dibenarkan bertindak sedemikian, apatah lagi kezaliman-kezaliman lain yang lebih besar melibatkan penyelewengan terhadap kuasa pemerintahan, penghinaan terhadap agama dan hukum syarak, penipuan melibatkan hak rakyat, pengkhianatan terhadap janji dan seumpamanya.

وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)" [Surah Ibrahim 42]

♡Jangan sesekali melakukan kezaliman samada terhadap diri sendiri atau terhadap orang lain. Ingatlah, kezaliman menjadi penyebab kegelapan dan kesengsaraan di padang Mahsyar. Jauhi dan hentikan kezaliman!!♡

Tiada ulasan:

Catat Ulasan