Saya percaya semua orang tahu apakah yang telah berlaku sewaktu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bertemu dengan penduduk-penduduk seksyen 23 berbincang mengenai isu pemindahan kuil ke situ. Tak perlulah saya mengulasnya lagi di sini. Bacalah pelbagai website dan blog untuk mengetahuinya. Saya sendiri berpendapat apa yang berlaku itu tidak wajar dan tidak seharusnya berlaku. Banyak cara lagi untuk mengeluarkan bantahan tanpa perlu melakukan tindakan atau menggunakan perkataan yang tidak sesuai.
Bagaimanapun, itu bukan topik tulisan saya kali ini. Apa yang saya ingin bangkitkan ialah saya dapati ada pihak yang ingin mengaitkan permulaan protes ini sehinggalah ia meletup dalam Dewan MBSA Sabtu lalu sebagai insiden perkauman, keagamaan ataupun politik kepartian.
Saya ingin berbeza pendapat dalam soal ini.
Bagi saya isu ini harus dilihat sebagai isu pengurusan. Ada sebuah kuil yang berusia 150 tahun ingin dipindahkan ke satu kawasan (seksyen 23). Sebahagian penduduk kawasan itu memprotes. Saya faham pengurusan protes bukanlah sesuatu yang mudah. Walau apa sekalipun penyelesaiannya, percayalah tidak akan wujud satu keadaan di mana semua orang berpuas hati.
Biar saya katakan bahawa tugas kerajaan ialah mengimbangi antara kehendak individu (atau kumpulan) dan keperluan komuniti (private vs public interest). Tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah. Kerajaan di seluruh dunia dijatuhkan atau dinaikkan kerana faktor ini. Apabila sesebuah kerajaan dilihat gagal menjaga kepentingan awam (public interest), maka rakyat akan menukarnya. Mungkin kerana bimbang dipersalahkan, maka jalan mudah ialah menyalahkan faktor-faktor luaran (external factors).
Apabila berlaku pertembungan antara kehendak individu (atau kumpulan) dan komuniti secara keseluruhannya, kerajaan mestilah membuat satu keputusan. Bukan saja dalam soal kuil, rakyat memprotes apa saja yang pada pandangan mereka tidak wajar. Ini termasuklah perobohan setinggan, pembangunan kawasan perumahan baru, pengambilan tanah, pembinaan pasar raya dan sebagainya. Rakyat juga memprotes kenaikan tol atau bayaran utiliti yang lain. Ia adalah satu proses biasa.
Menteri Besar dan Ketua Menteri (bukan saja di Selangor malah di negeri-negeri lain) juga sering dimaki-hamun apabila rakyat berpendapat mereka tidak mendapat keadilan sewajarnya. Bezanya, perkataan itu diucapkan di depan Khalid yang bersemuka dengan mereka. Pemimpin lain dimaki-hamun dalam internet, di kedai-kedai kopi, atau dalam perbualan di majlis-majlis tertentu. Saya juga biasa mendengar ada orang menggunakan "four letter words" kepada Menteri Besar tertentu.
Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak setuju dengan perbuatan sedemikian, namun itulah yang berlaku dalam masyarakat kita yang kononnya sudah matang berpolitik.
Apabila ada pihak-pihak mengaitkannya dengan agama, bangsa atau parti politik maka keadaan menjadi bercelaru. Terlalu ramai "tukang pusing" (spinner) dalam masyarakat kita. Klik di sini untuk membaca "How to Spin Bad News". Ada orang berkata ini adalah perbuatan penyokong UMNO. Biar saya tanya kembali, adakah anda ingin mengatakan bahawa tidak ada penyokong PAS yang terlibat dalam bantahan ini? Begitu juga saya tidak dapat menerima kalau ada orang yang mengatakan ia merupakan pertentangan antara agama dan bangsa.
Bukan semua isu harus dilihat dari persepektif parti politik. Apabila penduduk seksyen 23 memprotes kepada Khalid, ia harus dilihat sebagai protes kepada Menteri Besar Selangor, bukannya protes kepada parti politik yang diwakilinya atau peribadi Khalid. Mereka membantah Khalid Samad bukan atas batang tubuh atau parti politiknya, tetapi atas sifatnya sebagai Ahli Parlimen Shah Alam. Susah sangatkah hendaklah melihat isu ini dari perspektif itu?
Sepanjang yang saya tahu sehingga kini tidak ada sebarang garis panduan mengenai pembinaan rumah ibadat ini dan saya telah menulisnya dalam blog saya sebelum ini. Klik di sini untuk membacanya. Ini ialah satu lagi kelemahan pengurusan yang harus dibetulkan.
Kelemahan pengurusan itulah yang menyebabkan penduduk seksyen 23 mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri. Sebab itulah saya mengatakan bahawa kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan harus bersetuju dengan peraturan dasar (ground rules) agar apabila hal-hal sebegini berlaku, semua pihak ada tempat merujuk. Usah berjiwa kecil dengan menuding jari kepada satu sama lain.
Ya, kelemahan ini berlaku sejak Barisan Nasional mentadbir Selangor sehingga sekarang tatkala ia berada di bawah Pakatan Rakyat. Maka, betulkanlah!
Malangnya, kita tidak mahu mengakui kelemahan pengurusan. Sebaliknya kita mengambil jalan mudah menyalahkan agama, bangsa dan parti apabila timbul masalah ini. Begitulah cara kita berpolitik. Agaknya kita cukup seronok melihat rakyat negara ini berbalah sesama sendiri!
Oleh Nobisha
Tiada ulasan:
Catat Ulasan