Adakah pemimpin politik sama seperti produk-produk yang lain, sekiranya dipasarkan dengan betul akan menarik pembeli?
Itu perkara yang bermain di fikiran saya ketika mendengar ceramah Dr Jennifer Lees-Marshment, pensyarah kanan di University of Auckland, New Zealand yang bertajuk “The Political Marketing Game: What Really Wins Elections?” Rabu lepas.
Sarjana sains politik menulis mengenai beberapa pendekatan pemasaran politik.
Pertama, ialah melihat politik itu sebagai satu produk. Pendekatan pemasaran bercirikan “product oriented” bertolak dari falsafah bahawa produk yang dihasilkan itu adalah baik untuk pengguna. Oleh itu, produk itu harus disogokkan kepada pengguna dengan apa cara sekalipun.
Pendekatan kedua ialah “sales oriented” berasaskan faham bahawa produk yang dipasarkan dengan betul akan menarik pembeli. Dikatakan bahawa penjual yang baik akan mampu menjual peti sejuk kepada orang Eskimo!
Maka, penekanan diberikan kepada memantapkan kaedah jualan. Jurujual mesti bagus dan media yang digunakan mesti mampu mencapai kelompok sasar dengan mesej yang sesuai.
Ketiga, ialah pemasaran berasaskan “market-oriented”. Pendekatan ini bersifat responsif kepada kehendak pasaran. Dalam konteks politik, sesebuah parti politik akan berusaha memenuhi apa sahaja kehendak rakyat.
Untuk mengetahui apakah kehendak rakyat, maka parti dan pemimpin politik menggunakan kajian pendapat awam (public opinion survey). Sekiranya dilaksanakan dengan betul, kajian ini boleh memberikan gambaran yang baik mengenai pendapat rakyat dalam sesuatu isu.
Bagaimanapun, ada sesetengah pemimpin politik jahil yang mempertikaikan bagaimana kajian yang menggunakan sampel ini boleh dirumuskan sebagai pendapat awam secara keseluruhan. Elok disarankan lain kali apabila dia membuat ujian darah di hospital, minta doktor ambil darah dari seluruh badannya!
Pemimpin politik boleh menggunakan strategi pemasaran untuk mendapat input awam bagi membuat keputusan mengenai dasar yang sesuai. Seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, zaman di mana kerajaan mengetahui semuanya sudah berakhir.
Strategi pemasaran juga boleh menyediakan wadah bagi rakyat berpartisipasi dalam proses membuat keputusan, sekaligus membolehkan pemimpin sentiasa berhubung dan mengetahui denyut nadi rakyat.
Selain itu, pemasaran juga membolehkan parti dan pemimpin politik membangunkan produk politik (dalam bentuk idea, harapan dan masa depan) yang memenuhi kehendak pengundi. Ia juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan penjenamaan atau “repositioning” yang betul.
Berbalik kepada soalan asal saya: Adakah pemimpin politik adalah produk yang boleh menarik pembeli sekiranya dipasarkan dengan betul?
Konsep pemasaran boleh diaplikasikan bagi memasarkan seseorang pemimpin atau parti politik. Inilah yang sedang berlaku sekarang di mana wujudnya konsultan dalam bidang-bidang perhubungan awam, imej, kajian pendapat awam, perhubungan media dan lain-lain.
Bagaimanapun, produk yang buruk sukar untuk dipasarkan. Menginsafi hakikat inilah, maka adalah menjadi tanggungjawab parti-parti politik untuk menentukan bahawa calon-calon pilihanraya dan manifesto parti adalah selari dengan aspirasi rakyat.
Sekiranya ini dapat dilakukan, ketika itu strategi pemasaran akan dapat membantu menjual produk tersebut kepada rakyat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan